Pengesanan (Outreach)
Dalam konteks Pendidikan Khas di Malaysia, Pengesanan (Outreach) merujuk kepada proses atau usaha proaktif dan berterusan yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama agensi-agensi lain untuk mengenal pasti, mengesan, dan mendaftarkan kanak-kanak berkeperluan khas.
Tujuan Utama
Untuk memastikan:
🤍Akses Pendidikan, Zero Reject Policy (ZRP): Memastikan bahawa setiap kanak-kanak berkeperluan khas, seperti yang dijamin di bawah Akta Pendidikan 1996, mendapat peluang pendidikan yang sesuai.
🤍Intervensi Awal: Kanak-kanak yang dikesan dapat menerima intervensi dan perkhidmatan Pendidikan Khas secepat mungkin, kerana intervensi awal sangat kritikal untuk perkembangan optimum mereka.
🤍Memperluas Liputan: Menjangkau komuniti yang mungkin tidak sedar tentang hak dan perkhidmatan Pendidikan Khas yang ditawarkan oleh kerajaan.
Instrumen Pengesanan
Pengesanan ke atas murid yang mempunyai kebarangkalian berkeperluan khas boleh dilaksanakan oleh guru secara pemerhatian atau melalui pentadbiran ujian seperti:
(a) Senarai Semak Pengesanan (SSP) Perkembangan Bayi/Kanak-kanak 0-6 tahun 2014<2023>;
(b) Instrumen Senarai Semak Disleksia (ISD) 2003;
(c) Instrumen Pengesanan Murid Bermasalah Dalam Pembelajaran (IPMBDP) 2011; atau
(d) Lain-lain instrument yang dikeluarkan oleh KPM dari semasa ke semasa
[Bab 2 perenggan 2.4 Kod Amalan Pendidikan Murid Berkeperluan Khas 2014]
Pelaksanaan
Semua kes pengesanan yang diterima oleh sekolah/PPD/JPN/Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas) hendaklah dirujuk kepada pengamal perubatan, pegawai optometri, pegawai audiologi atau pegawai psikologi kerajaan atau swasta.
[Bab 2 perenggan 2.7 Kod Amalan Pendidikan Murid Berkeperluan Khas 2014]
Semua kanak-kanak berkeperluan khas yang telah melalui proses pengesanan hendaklah disahkan oleh pengamal perubatan, pegawai optometri, pegawai audiologi atau pegawai psikologi kerajaan atau swasta bagi mengikuti program Pendidikan Khas di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan
[Bab 2 perenggan 2.9 Kod Amalan Pendidikan Murid Berkeperluan Khas 2014]
Hanya ibu bapa/ penjaga yang dibenarkan membawa kanak-kanak yang telah dikesan untuk tujuan pengesahan oleh pengamal perubatan atau pakar. Walaubagaimanapun, pihak sekolah perlu memberi penerangan dan berbincang dengan ibubapa/ penjaga bagi mendapatkan kerjasama untuk membuat pengesahan atau pemeriksaan lanjut.
[Bab 2 perenggan 2.10 Kod Amalan Pendidikan Murid Berkeperluan Khas 2014]